Tuesday, November 11, 2008

Jemaah penuhi Masjid Nabawi, bermulanya musim haji 1429 H

MADINAH, Saf (barisan) di Masjid Nabawi mulai hampir dipenuhi jemaah setiap kali solat fardhu lima waktu, bas berduyun-duyun memasuki kota suci ini, dan hotel serta rumah penginapan di sekitarnya penuh - ini tandanya musim haji 1429 Hijrah sudah bermula.


Mereka ke sini bukan sahaja untuk mendirikan solat dan berdoa di Masjid Nabawi, masjid kedua termulia selepas Masjidil Haram di Mekah, tetapi juga kerana menziarahi makam Nabi Muhammad s.a.w di situ serta makam tiga khalifah Islam - Saidina Abu Bakar, Umar Al-Khattab dan Uthman Ibnu Affan di sebelahnya.


Justeru itu Kota Suci Madinah, di mana juga terdapat Masjid Qubaa, masjid pertama didirikan pada zaman Rasullullah, menjadi destinasi ziarah bagi sebahagian daripada berjuta-juta jemaah haji yang bakal bermukim di Tanah Suci Mekah sebelum wukuf di Arafah pada awal Disember akan datang.

Jemaah haji terdiri daripada rakyat Malaysia sudah mulai banyak di Madinah sejak hujung minggu lalu antara berpuluh ribu jemaah haji pelbagai bangsa dan budaya kelihatan berulang alik antara penginapan dan Masjid Nabi itu lima kali sehari untuk melakukan solat fardu.

Beribu-ribu lagi sedang memasuki kota kedamaian ini melalui jalan darat dan udara setiap detik dan beribu-ribu yang lain yang sudah tinggal rata-rata lapan hari di sini dan melakukan solat 40 waktu (solat Arbain), keluar menuju Mekah.


Meskipun sebahagiannya sudah berusia lanjut dan fizikal mereka kelihatan lemah, namun mereka sanggup berjalan berbatu-batu sehari kerana mahu mendirikan solat fardu yang mencukupi 40 waktu yang dianjurkan oleh Islam bagi jemaah haji.