Monday, August 4, 2008

Mahasiswa Bentuk Badan Bertindak Membantah Pembatalan MOU AL-AZHAR

Mahasiswa berasa sedikit hairan apabila Najib mengumumkan bahawa pembatalan MOU antara IPTS dengan Al-Azhar adalah kerana kehendak pihak Al-Azhar sendiri. Nampak begitu gugup lagi teragak-agak apabila Najib mengeluarkan kenyataan ketika menjawab isu ini. Walaupun berbagai kenyataan yang cuba menutup bahawa ianya adalah daripada pihak Al-Azhar sendiri, kami tetap yakin usaha pembatalan MOU ini adalah usaha dari pihak kerajaan Malaysia sendiri melalui kedutaannya di Mesir.

Pihak kedutaan dan Kementerian Pengajian Tinggi juga dilihat telah memainkan faktor penting dalam menjayakan misi sabotaj dengan menyekat kemasukan pelajar ke Al-Azhar. Ini dilihat berikutan dari pembatalan secara mengejut yang disyaki terdapat campurtangan dari pihak berkuasa (kerajaan Malaysia). Isu pembatalan ini juga dikesan adalah rentetan dari kepulangan Najib dari Kaherah Mesir pada satu ketika dahulu.

Apakah kerajaan tidak sedar bahawa puncanya adalah di pihak kerajaan sendiri. Tidak malukah kerajaan Malaysia dengan pembatalan ini menunjukkan kualiti akademik di Malaysia berada di tahap yang minima dan terkongkong sehinggakan pihak Al-Azhar sendiri yang telah membatalkan MOU antara IPTS dengan Al-Azhar.

Pelaksanaan ujian Imtihan Qabul selama ini yang menjadi syarat dan sekatan kemasukan ke Al-Azhar di bawah kelolaan Kedutaan Malaysia adakah benar-benar mendatangkan kesan? Natijah perlaksanaan Imtihan Qabul ini adakah berkesan terhadap pelajar yang lemah dan adakah dibuat kelas intensif bagi membaiki kelemahan pelajar tersebut?.

Bermula dengan isu sekatan pelajar ke Al-Azhar melalui perlaksanaan STAM sedangkan kemasukan ke Universiti Timur Tengah lain tidak menggunakan sijil STAM, diwujudkan “Imtihan Qabul” (peperiksaan kemasukan) yang sepatutnya kemasukan mereka dinilai berdasarkan pencapaian akademik mereka di kolej mereka sebelum ini walaupun mereka sudah mengikuti pengajian berkembar kolej yang mempunyai MOU secara langsung dengan pihak Al-Azhar, perletakan Batu Asas cawangan Al-Azhar di Rembau dan yang terakhir pembatalan terus kemasukan pelajar graduan MOU ke Univ. Al-Azhar. Kami, Gabungan Mahasiswa IPTS Membantah Pembatalan MOU Al-Azhar (BANTAH) dari 17 buah IPTS mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Razak bahawa Universiti Al-Azhar dianggap sebagai peluang terakhir bagi menyambung pengajian ke sana dan pelajar yang ke sana bukan pelajar pilihan di Universiti tersebut. Kenyataan ini sangat memandang rendah martabat pelajar yang menyambung pengajian ke sana.

Sekiranya kerajaan tidak mempedulikan pandangan kami, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil pendekatan agresif dan berdemontrasi bagi memastikan rakyat sedar akan kejahatan kerajaan sekular yang dilihat anti-ulama.
Gabungan Mahasiswa IPTS Membantah Pembatalan MOU Al-Azhar (BANTAH)

BANTAH terdiri daripada mahasiswa :
1. Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) Kelantan
2. Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) Selangor
3. Kolej Universiti Insaniah (KUIN) Kedah
4. Kolej Islam Darul Ulum (KIDU) Kedah
5. MINDA Kedah
6. MADIWA Perak
7. Kolej IHSANIAH Penang
8. Kolej Ar-Razi Penang
9. Pusat Pengajian Tinggi Pondok Moden Kandis Kelantan
10. Darul Hijrah Pahang
11. Maahad Tinggi Pengajian Islam dan Bahasa Arab Pahang
12. Maahad Tinggi Pengajian Islam Perlis
13. Kolej Universiti Sultan Zainal Abidin (KUSZA) Terengganu
14. Kolej Islam Darul Quran (KUDQI) Terengganu
15. Kolej UNITI Negeri Sembilan
16. Maahad Ahmadi (MARSAH) Johor
17. Kolej Pengajian Islam Dan Bahasa Arab Melaka

Tranungkite.net
isnin: 4 ogos 2008