Bagaimanapun, berbeza dengan Kennedy, Obama mendapat perhatian khusus dunia Islam. Muslim di AS dan seluruh dunia meletakkan harapan pada Obama untuk membawa perubahan yang jauh lebih baik, lebih-lebih lagi selepas bencana pentadbiran Presiden George W Bush. Sentimen minoriti juga menjadi satu punca sokongan Muslim AS kepada Obama. Beliau dilihat sebagai underdog, mewakili kumpulan yang sama dalam usaha memenangi jawatan yang selama ini dikuasai kaum majoriti kulit putih.
Obama sepanjang tempoh kempennya sangat berhati-hati dengan persepsi tentang agamanya, terutama terhadap dakwaan bahawa beliau sebenarnya seorang Muslim.Obama juga sehingga kini sangat berhati-hati dalam menerima sokongan warga Muslim AS. Beliau mungkin tidak mahu dikaitkan sebagai tokoh yang mewakili suara Muslim AS, terutama ketika masih terdapat warga AS yang percaya yang beliau sebenarnya seorang Muslim.
Dalam satu perkembangan yang memberi gambaran sikap sangat berhati-hati ini, dua orang wanita Muslim bertudung dihalang daripada duduk di belakang Obama dalam dua rali berasingan.Arahan itu dikatakan bukan datang dari Obama, tetapi hal itu menunjukkan persepsi negatif terhadap Muslim tetap wujud, dan wujud di kalangan mereka yang mengendalikan kempen Obama.Kedudukan di belakang posisi Obama ketika berucap penting bagi membina persepsi tentang sokongan meluas diperolehi. Mereka yang berada di bahagian itu akan dilihat pada gambar atau rakaman televisyen yang diambil ketika Obama berucap. Lebih pelbagai mereka yang duduk dibelakangnya, lebih beliau akan dilihat sebagai mewakili semua lapisan rakyat AS.
Malangnya, wujud persepsi yang kehadiran wanita Muslim bertudung akan menjejaskan imej Obama. Apapun sebab wanita terbabit dihalang daripada mengambil tempat itu, hal ini pasti mempunyai kaitan dengan persepsi berkaitan Islam yang cuba ditepis Obama.Ini bagaimanapun tidak bermakna sokongan dan harapan patut diberikan pada McCain. Pilihan untuk AS yang lebih baik bukan hanya terletak pada presiden, atau dua parti utama, Republikan dan Demokratik.Hal ini sepatutnya mendorong Muslim AS bergiat dalam politik dengan lebih aktif, dalam masyarakat sivil, kumpulan pelobi dan sebagai pengundi di semua peringkat. Pergantungan pada kuasa presiden semata-mata ialah satu pemahaman yang sangat menyeleweng.